^^Diari Nad^^

^^Diari Nad^^

Tuesday, June 28, 2011

Puasa yang sia-sia

Assalammualaikum sahabat..moga semua ceria dirahmati Allah.

Sekadar bercerita..

Salina (bukan nama sebenar) terkejut. Tiba-tiba Azimah (bukan nama sebenar) beredar meninggalkan dia. Walhal mereka sedang berbual-bual. Malah sempat pula Azimah berkata, "Cukuplah, saya tidak mahu dengar." Oleh kerana berasa hairan dan tidak puas hati dengan perbuatan kawannya itu, Salina memanggilnya sambil berlari-lari anak mengejar Azimah yang semakin jauh meninggalkannya.

"Kenapa dengan awak? Awak marahkan sayakah?" tanya Salina sebaik sahaja tiba di sisi Azimah.

"Saya minta maaf. Tadi awak hendak bercerita tentang keburukan kawan kita, Rahimah (bukan nama sebenar). Awak hendak mengumpat dia, sebab itu saya tidak mahu dengar." jawab Azimah dengan jujur.

"Nasib baik awak cepat bertindak. Kalau tidak, dapat dosa kering saya tadi." kata Salina

"Bukan awak seorang, saya yang mendengar pun berdosa juga." kata Azimah.

"Kalau tidak sia-sia sahaja kita berpuasa. Dapat penat dan lapar sahaja." kata Salina lagi.

"Sudahlah tidak dapat pahala, dapat dosa pula."tambah Azimah.

****************************

Sekadar berkongsi..

As-siyam, satu istilah yang digunakan dalam bahasa Arab yang bermaksud puasa. Puasa bermaksud menahan diri daripada melakukan sesuatu perkara yang membatalkan puasa serta mempunyai tempoh masa tertentu iaitu dari terbitnya fajar sehingga tenggelamnya matahari dan disertai dengan niat.

Dalam Islam apa sahaja amalan yang dilaksanakan perlu disertakan dengan niat. Manakala maksud menahan diri pula ialah seperti menahan diri daripada makan dan minum, menahan mata daripada melihat perkara-perkara yang mendatangkan dosa, menahan telinga daripada mendengar umpatan, celaan dan kejian. Di samping menahan diri daripada mengumpat, mengeji, mencela atau menyakiti hati orang lain, berdusta, berbohong dan seumpamanya, itu semua termasuk dalam kategori menahan diri.

Makan atau minum akan membatalkan puasa. Ia jelas melanggar kaedah serta syarat-syarat sah puasa. Oleh sebab itu setiap individu yang melakukan perkara tersebut maka batal puasanya. Manakala mengumpat, mengeji, menghina, mencela dan seumpamanya akan mengurangkan dan membatalkan pahala puasa.

Puasanya sah kerana dia tidak makan dan minum pada siang hari, namun pahala puasanya kurang ataupun tiada langsung kerana dia melakukan perkara-perkara yang dilarang sewaktu dia berpuasa. Malah Al-Quran dan Rasulullah SAW mengumpamakan orang yang mengumpat seperti memakan daging saudaranya sendiri.

Ia termasuk dalam kategori yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW :"Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa manfaat dari puasanya kecuali lapar dan dahaga."

Wallahualam.

Friday, June 24, 2011

Fuyoh! Panasnya Cuaca!

Assalammualaikum sahabat..

Sekadar bercerita..

"Fuyoh! Panasnya hari ini." keluh anak kedua saya Teli yang baru balik dari sekolah tengahari tadi.

Cuaca sekarang ini tak menentu kalau panas..panas sangat, kalau hujan..hujan saja..namun itu semua kekuasaan Allah.

"Ala Relax la dik, sebenarnya ada tempat yang lebih panas di atas dunia ini." kata kakaknya Tasha.

"Kat mana?" tanya Teli.

"Sebuah tempat bernama El Azizia di Libya adalah kawasan terpanas di dunia dan ia pernah merekodkan suhu terpanas sehingga 57.8 selsius pada 13 September 1922."jawab Tasha.

"Mana akak tahu? tanya Teli lagi.

"Ala kebetulan akak baca dari majalah asuh." jawab Tasha.

"Poyo je kakak ni."Teli tak berpuas hati.

"Betullah tak caye pergilah baca sendiri." Tasha menegaskan.

"Mama pun ada baca, tapi kakak tak baca habis ye ada tapi tau.." tanya saya pada Tasha.

"Eh ye ke mama, tapi apa?." Tasha musykil.

"Tapi neraka lagi panassss tau!!!" saya beritahu Tasha.

"Ye lah mama..eee takutkan mama saya tak mau masuk neraka." beritahu Tasha penuh bimbang.

"Kalau tak mau masuk neraka, kita kena apa?" tanya saya lagi.

"Kena dengar cakap mama."sampuk Teli.

"Bukan itu saja, dah solat ke belum?" tanya saya.

Tasha dan Teli masing-masing terus masuk untuk solat. Alhamdulillah.

***********************

Sesungguhnya sudah menjadi sunnatullah, bahawa apapun yang ada di dunia ini tetap dijadikan berpasangan atau berlawanan.

Kita boleh melihat sendiri, siang lawannya dengan malam, panas lawannya sejuk, tinggi lawannya rendah dan syurga lawannya neraka.

Seperti yang sudah pernah kita baca dalam al-Quran, bahawa syurga itu disediakan oleh Allah bagi orang yang beriman serta berbuat kebaikan, sedangkan neraka adalah bagi orang yang ingkar kepada Allah S.W.T.

Hal ini dapat kita buktikan melalui firman Allah dalam surah as-Sajadah ayat 19 hingga 20 yang bermaksud:

"Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang mereka telah kerjakan. Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir) maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya, mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka, "rasakanlah seksaan neraka yang dahulu kamu dustakannya."

Daripada maksud di atas telah jelas kepada kita bahawa syurga dan neraka itu benar-benar ada, syurga bagi orang yang beriman, manakala neraka bagi orang yang ingkar.

Maka justeru itulah, bagi orang mukmin baik lelaki atau perempuan wajib melepaskan diri daripada seksa yang akan ditimpakan oleh Allah S.W.T itu dengan cara taat dan patuh.

Seseorang mukmin dituntut agar memelihara diri dan keluarganya supaya jangan tersesat jalan ditempuh, maka dengan itu Allah telah berfirman dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya adalah manusia dan batu. Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya. Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala perkara yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkanNya."

**********************

Moga kita semua menjadi orang-orang yang beriman. Ameen.






Wednesday, June 22, 2011

Ar-Razzaq-Pemberi Rezeki

Assalammualaikum sahabat..moga semua sihat diberkati Allah.

Sekadar berkongsi,

Anak-anak kita jika diajak untuk keluar pergi membeli makanan di kedai atau di mana-mana saja sudah tentu suka hendak ikut. Hendak pula jika pergi ke gerai-gerai makanan, MasyaAllah rambang mata, rasanya kalau ada banyak duit semua makanan itu kita hendak beli dan makan sepuas-puasnya. Tetapi sifat tamak itu tidak patut menjadi amalan.

Saya selalu ingatkan anak-anak ada orang yang lebih susah dari kita. Rezeki yang kita dapat bukankah baik kita kongsikan pada orang lain contoh kita hantar ke rumah kawan-kawan yang susah atau jiran tetangga.

Sifat Allah yang sangat pemurah tidak pernah berhenti memberi rezeki kepada seluruh makhluk di dunia ini. Sebenarnya Allah bersifat Ar-Razzaq bererti pemberi rezeki, mengurniakan rezeki bukan hanya khusus pada makanan tapi segala perkara yang boleh membawa kepada kebaikan semuanya dinamakan rezeki.

Kita dikurniakan keluarga penyayang, rumah selesa, dapat makanan yang sedap-sedap, dapat tidur nyenyak, semua itu juga disebut rezeki. Allah kurniakan kita kepandaian, badan sihat dan otak yang cerdas itu juga dikira sebagai rezeki.

Saya selalu ingatkan diri dan anak-anak sebagai mensyukuri setiap rezeki yang Allah kurniakan pada kita, selain selalu menyebut nama Allah, mari kita sebut nama Ar-Razzaq pula. Contohnya melihat setiap hidangan makanan maka ucapkanlah, "Ya Razzaq, Ya Razzaq, Ya Razzag"berulang kali.

Tujuannya supaya kita ingat kepada Allah yang memberi rezeki itu. Apabila kita menerima hadiah dari seseorang ucapkanlah "Terima kasih Ya Razzaq, terima kasih Ya Pemberi Rezeki."

Akhir kata, mari kita amalkan bersama-sama setiap pagi sebelum melangkah kaki ke sekolah  atau ke tempat kerja atau ke mana-mana saja bacalah Ya Razzaq sepuluh kali. Mudah-mudahan apabila kita selalu menyebutnya, Ya Razzaq akan beri bermacam-macam rezeki yang berkat.

Semoga kita menjadi orang yang banyak bersyukur dengan nikmat rezeki yang Allah kurniakan.Ameen.

Saturday, June 18, 2011

Makan-makan di Sabah

Assalammualaikum sahabat..moga ceria hari ini.
Sekadar bercerita..
Saya kalau cerita bab-bab makan pada anak-anak mereka memang suka terutama anak kedua saya Teli. Semasa di Sabah selama empat hari di sana, Teli akan selalu tanya dimana tempat makan yang akan kami singgah.

"Mama, lepas ni kita nak makan kat mana?" Itulah pertanyaan yang keluar dari mulut Teli sebaik sampai di Sabah.

Walaupun sudah makan di dalam kapal terbang papa dia order tapi itulah Teli memang suka makan.

"Mana nak cukup makan kat atas tu..nasi lemak dia kecik je."kata Teli
Memang betul pun kecil saja nasi lemak dalam kapal terbang, mahalnya bukan main lagi.
Jadi untuk itu, hubby bawa kami semua makan di Restoran Seri Melaka. Di restoran ini hubby kata dia pernah makan asam pedas ikan tenggiri sedap sangat. Inilah antara hidangan yang kami pesan.

Memang betul kata hubby, asam pedas di sini sedap sangat rasa macam ada mangga pulak..

Ini prawn fried with dried chilies..bolelah rasanya

Ini black pepper chicken..anak sulung saya Tasha yang pesan.

Alhamdulillah, tersenyum kenyang Teli.

Oleh kerana makanan di sini memenuhi citarasa kami semua, maka waktu hendak balik pun kami singgah di restoran ini juga.

Sempatlah bergambar di depan restoran ini sewaktu hendak balik.
Pada hari kedua hubby bawa kami makan malam di Restoran Kampung Nelayan. Di sini agak mahal jugalah tapi hubby kata tak apalah sekali-sekala dan hubby suruh kita semua cuba makan yang dibawah ini.
Inilah dia lobster (betul ke spelling nih) sebelum di ehem2
Lobster ini hubby yang order tak ingatlah apa nama masakannya..isinya ala2 salad dicampur dengan cheese dan buah tembikai susu..agak kelainan sikitlah rasanya tapi hubby suka.

Apa yang menarik di Restoran Kampung Nelayan ini ialah kita semua dihiburkan dengan pertunjukan tradisional Sabah.

Teli dan Tasha sempat berposing dengan penari-penari.

Malam terakhir pula kami makan di Restoran Bundusan Place. Di sini tak ramai orang, apa yang istimewanya di sini ialah chefnya sangat pemurah hati. Hubby pernah makan di sini dulu, katanya ketam masak kari di sini sedap. Kami semua pun nak cubalah, tapi malang nasib kami malam itu ketam sudah habis. Untuk tidak menghampakan kami, chef di sini menghidangkan kami sup sharkfin dengan percuma.

Terkejut! kami order sikit aje..dibawanya dengan mangkuk besar..pelayan tu kata..hari ini chef senang hati. Terimakasihlah..
Ini prawn with eggs and cheesse..gemuklah

Disebabkan ketam habis, jadi chef dengan senang hati ganti dengan dried curry prawn..hem sedap jugak

Neliez sibuk nak menari sama.

Di sini pun ada pertunjukan juga tapi sekejap saja..penari-penari yang hendak bergambar dengan Neliez sebab dia asyik sibuk menari kat depan tu..


Alhamdulillah, syukur rasanya dah habis cerita saya di Sabah yang dapat saya kongsikan pada sahabat.
p/s: Sentiasa ingat pada diri dan anak-anak bila makan jangan tamak dan jangan membazir..ingatlah pada orang yang susah nak dapat makan.





Thursday, June 16, 2011

Jalan-jalan cari Iman

Assalammualaikum sahabat..apakhabar..semoga keimanan kita bertambah setiap hari.

Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana diberikan lagi saya peluang untuk sama-sama berkongsi cerita dan pengalaman saya walau saya ada sedikit masalah untuk "sign in" blog saya. Macam-macam error message yang keluar antaranya HTTP 404.

Pada mulanya pening juga saya untuk menyelesaikan error ini namun saya cuba juga untuk explore kenapa,mengapa apakah sebab utama HTTP 404 ini..akhirnya alhamdulillah tidak ada apa yang special pun apa yang saya lakukan hanya go to google cari link dan akhirnya dapat. Syukurlah.

Baiklah terus ke n3 yang saya nak kongsikan pada sahabat iaitu sambungan jalan-jalan saya serta keluarga ke Sabah tempohari. Saya masih ingat akan pesanan seorang ustazah agar jalan-jalan kita seeloknya diiringi dengan iman..wa ima di mana pun kita sentiasa ingat Allah. Sejauh mana pun kita ingat Allah Maha Besar, setinggi mana pun kita ingat Allah Maha Pencipta.

Sampai kita di Sabah petang..sempat untuk jamak dulu di Masjid KK ini.
Dalam perjalanan hendak ke Kundasan..sempat anak saya Natasha ambil view waktu senja..Subhanallah..
 

Di pagi hari di Kundasan, kami ke sini untuk melihat keindahan permandangan Gunung Kinabalu.

Inilah dia view yang sempat kami ambil..sungguh indah ciptaan Allah.


Macam dalam studio pulak.


Di waktu pagi, pemandangan salah sebuah Masjid yang berada di Kundasan ini
Ini pemandangan sewaktu kami hendak ke ladang lembu..macam kat New Zealand gitu.

Nyssa sempat pose.


Inilah dia ladang lembu atas bukit sejuk udara disini..tak berapa nampaklah lembunya..ada susu yang dijual disini.


Sungguh indah bumi Allah.

bersambung lagi..maaflah sahabat sejak kebelakangan ini laptop problem sejak kes masuk air hari tu..tak sempat nak balas komen sahabat..apapun terimakasih pada yang masih sudi jengok kita..insyaAllah jika semuanya beransur pulih, saya akan singgah ye.


Saturday, June 11, 2011

Rinduuuunyer

Assalammualaikum...

Apakhabar sahabat-sahabat semua, rindunya saya pada semua. Harap semua didalam keadaan sihat serta diberkati Allah selalu.

Sekadar bercerita..

Hari ini..

"Mama, rindunya saya." kata Nyssa.

"Rindu dengan siapa?" tanya saya.

"Mama, saya rindulah nak naik kapal terbang lagi." Nyssa jawab

Saya pelik juga dengan kenyataan Nyssa tetapi pada masa yang sama saya rasa syukur juga. Pelik kerana pada mula saya dan hubby berhasrat untuk ke Sabah tempoh hari dan beritahu Nyssa yang kami semua akan naik kapal terbang, dia lah yang paling takut sekali.

"Mama, nanti dalam kapal terbang saya duduk dengan Papa tau." kata Nyssa.

Tengoklah tu Nyssa tak lepas tangan Papa dia.
Syukur kerana selepas kami semua berdoa, alhamdulillah Nyssa sudah tak takut lagi malah paling ceria.

Selepas bacaan doa dan kapal terbang naik sempat beraksi ceria gitu..


bersambung...

Saturday, June 4, 2011

Assalammualaikum..

Alkisahnya..dah lama tak update blog ni gara-gara laptop rosak sebabnya si kecil Neliez gi tumpahkan air di atas permukaan keyboard..mula-mula saya ingatkan ok aje tak ada apa-apa...jadi suruhlah kakak dia Tasha lap kan cepat-cepat dan tutup..Bila nak on semula dah tak boleh..so sekarang ni pun tengah guna hubby punya laptop nasib dia bawa balik dari office..selalu dia tinggalkan kat office..

"Mana laptop mama?" tanya Nyssa.

"Dah masuk air?"saya jawab

"Haa..kenapa masuk dalam air? tanya Nyssa dengan nada terkejut.

Hai..cakap dengan kanak-kanak ni biar terang dan jelas supaya mereka faham? Kita sebagai ibubapa ni kenalah banyak bersabar dan rajin untuk memberi penjelasan.

"Laptop mama kena hantar gi hospital nak kena ubat supaya baik" Teli menyampuk.

Ada saja yang menokok nambah cerita..kakak Teli dia ni memang suka bergurau..tapi kekadang tu telah mengkompiuskan (confuse) adik dia. Jadi nak-tak nak mama dia jugalah terpaksa menjelaskan lagi.

"Laptop mama rosak jadi mama hantar kedai komputer untuk baiki supaya elok semula."terang saya.

******************************

Bersempena dengan ulangtahun kelahiran anak saya Nyssa hari ini yang genap berumur enam tahun..sempat jugalah dia meniup kek petang tadi walau sebenarnya saya dan hubby merancang nak meraikan harilahirnya di Sabah esok.




Alhamdulillah syukur..semoga Nyssa menjadi anak yang soleh..Ameen.


p/s Esok pagi kami sekeluarga akan naik belon ke Sabah..Doakan perjalanan kami selamat..Terimakasih sahabat..Maaf tak sempat nak terjah blog sahabat..insyaAllah dilain kelapangan.