^^Diari Nad^^

^^Diari Nad^^

Thursday, November 27, 2014

Cerpen : Hikmah Cinta Dari-Mu

          Aku bersama kawan-kawanku yang lain. Bersiap untuk ke masjid. Songkok yang baru abah hadiahkan aku pakai. Aku dikenakan dengan jubah dan aku kelihatan segak di depan cermin. Sedikit minyak wangi aku semburkan pada badan. Sunnah Rasulullah..

         "Amin, kau buat apa lagi? Maghrib nak dekat..kawan-kawan kau tunggu tu!"

Kedengaran suara ibu yang lantang memanggilku. Aku segera keluar dari bilik dan menyalam tangan ibu dan abah.

         "Pergi dulu, bah"

Aku keluar dan kawan-kawanku yang dari tadi menunggu terus menghidupkan enjin motor mereka. Aku memberikan senyuman buat mereka dan memohon maaf kerana lambat. Mereka mengerti. Kami 'merempit' ke masjid. Azan sudah berkumandang. Kami memarkingkan motor dan terus masuk ke dalam masjid.

          "Kau kelihatan segak, bro!"

Aku ketawa. Kawanku, Man memujiku. Jubah yang aku pakai itu aku betulkan. Sedikit komot kerana 'merempit' tadi. Aku memulakan solatku dengan solat sunat tahyatul masjid. Selesai sahaja, aku duduk sambil menunggu orang lain habis dengan solat sunat.

         "Kau tak fikir nak kahwin, Min?"

Aku memandang wajah kawanku dengan terkejut. Sebelum ini, aku tidak pernah memikirkan soal itu. Ibu dan abah juga tidak pernah mahu menjodohkan aku dengan sesiapa. Dalam banyak-banyak gadis di kampung, satu pun aku tak berkenan. Ramai juga yang ingin menjadikan aku suami tapi aku menolak. Mungkin aku belum bersedia lagi.

         "Kau tu? Tanya aku pula.."

Balasku. Man tersengih-sengih. Entah apalah dalam fikirannya yang membuatkan kawan aku ini tersengih macam kerang busuk! Aku tahu, Man memang orang yang baik. Pasti banyak gadis yang inginkan Man.

Man menggelengkan kepala. Aku hairan.

         "Aku tanya kau, Min..betul kau tak terfikir nak kahwin..aku tengok si Ros tu syok dekat kau"

Aku menggeleng sambil tersengih. Ros, teman sekolahku dulu. Dari dulu gadis itu menyimpan perasaan padaku. Tapi entah kenapa aku tidak mahu. Orang-orang disekeliling sudah pun mahu ke hadapan bagi memenuhi saf.

         "Eh dahlah..jom solat!"

Aku bangun dan terus ke hadapan. Soal kahwin, aku tolak ke tepi. Lagipun, usiaku masih muda. Kalau sudah jodoh, tak ke mana. Aku tersenyum mengingatkan Man.

          Aku menunggu Man yang dari tadi tidak tahan hendak ke tandas. Katanya, sakit perut. Kawan-kawanku yang lain sudah pun pulang. Aku membetulkan songkokku. Mataku meliar memandang orang-orang disekelilingku. Tiba-tiba, mataku tertumpu pada seseorang.

Seorang gadis yang berpurdah keluar dari masjid. Asyik mataku merenungnya, matanya pula memandangku. Aku tertunduk. Astagfirrullahhal'azim. Aku istighfar. Apabila aku memandang kembali, gadis purdah itu tiada di situ. Hilang bagaikan burung yang sudah terbang. Aku hanya tersenyum. Ya, itulah kali pertama aku melihatnya. Gadis purdah yang aku sendiri tidak tahu wajahnya. Pasti gadis itu sangat terpelihara oleh Allah.

Itu juga kali pertama aku jatuh cinta. Subhanallah! Apakah hikmah ini? Man sudah pun berada di hadapanku dengan memandangku hairan.

         "Oit, jomlah..kau tengok siapa?"

Aku menggeleng. Tidak mahu sesiapa tahu tentang perasaanku pada gadis purdah itu. Cinta itu anugerah dari Allah. Ya Allah! aku jatuh cinta!

Kami pun pulang. Aku masih terfikirkan gadis itu. Siapakah dia? Aku menggelengkan kepala. Ini semua syaitan ni! Aku tidak mahu terpengaruh dengan bisikan syaitan yang sedang menghasutku. Aku membuang perasaan itu. Biarlah dia hanya gadis di dalam mimpiku.

          Sudah banyak kali aku melihat gadis purdah itu di masjid. Pasti gadis itu orang di sini-sini juga. Ya Allah, apakah hikmah semua ini? Makin aku ingin lupakan perasaan cinta itu, makin ada gadis purdah itu muncul. Hatiku berdebar-debar buat kali pertama.

Ya Allah, sucikanlah hati ini. Hilangkanlah perasaan ini jika ia berlandaskan nafsu. Biarlah cintaku ini berlandaskan iman.

Aku ke kedai untuk membeli barang yang dipesan oleh ibu. Sedang asyik membelek sayur, seorang gadis terjongket-jongket untuk mengambil barang. Aku terpandang dengan hairan. Aku menghampirinya dan memberi salam.

Gadis itu memandang lalu menunduk. Aku terpegun dengan matanya. Gadis berpurdah itu! Aku menjarakkan langkahku darinya. Gadis itu tidak membalas salamku. Mungkin dia balas dalam hati.

         "Nak saya bantu?"

Aku mempelawa untuk menolong gadis itu. Gadis purdah yang asyik menunduk itu memandang. Dia segera mengangguk. Aku menggaru tengkukku yang tidak gatal. Malu pun ada juga. Gadis purdah itu menunjukkan barang tersebut. Aku segera mengambilnya lalu menghulurkan padanya.

         "Terima kasih, assalammualaikum"

Itulah ayat pertama yang keluar di bibir gadis itu. Lembut suaranya. Gadis itu berlalu pergi. Aku tercegat di situ. Ini kali pertama aku melihat gadis itu dengan jarak yang dekat. Senyuman terukir di bibirku.

Keesokkan harinya...

         "Abah ada sesuatu yang nak dibincangkan dengan Amin"

Aku mengangguk lalu melabuhkan punggungku pada kerusi. Ibu menyediakan minuman lalu berlalu ke dapur. Aku memandang wajah abah. Aku berasa macam tidak sedap hati. Adakah perbincangan ini sesuatu yang aku tidak suka?

         "Ada apa, bah?"

Abah menarik nafas sebelum memulakan perbincangan. Aku menanti dengan sabar.

         "Sudah tiba masanya untuk kau mendirikan rumah tangga, Min"

Aku terkejut. Air liur aku telan. Diam terus diriku. Apa maksud abah? Abah memandangku serius. Aku hanya menunduk. Tidak tahu apa yang ingin dijawab pada abah.

         "Begini..abah ada calon untuk kau. Kau pasti berkenan"

Aku hanya mendengar sahaja kata-kata abah. Aku memandang seraut wajah yang tua itu. Abah ni biar betul! Aku menggelengkan kepala.

         "Amin belum bersedia, bah"

Aku membantah. Selama ini aku tidak pernah membantah abah dengan ibu tapi hari ini aku telah membantah abah soal kahwin. Mana mungkin aku kahwin dengan gadis yang aku sendiri tak tahu.

         "Abah tahu kau dah bersedia, Min. Ramai gadis nakkan kau. Semua kau tak berkenan. Dah lama abah tunggu saat ni, Min. Sebab itu abah carikan kau calon, Min"

Panjang lebar abah menerang padaku. Aku keliru. Ya Allah, Kau permudahkanlah urusanku.

         "Gadis pilihan abah tu..terima ke, bah? Mereka tak tolak?"

Aku bertanya. Ingin tahu juga apa reaksi gadis pilihan abah itu. Jangan-jangan gadis itu juga sepertiku.

         "Dia kata dia juga perlukan masa. Abah bagi dia 3 hari. Abah yakin dia gadis yang baik. Abah pilihkan bukan calang-calang orangnya, Min. Abah bagi kau 3 hari juga. Abah nak kau buat solat istikharah. Mohon pada Allah. Mungkin dia jodoh kau, Min"

Kata abah. Aku menunduk. Ya, benar kata abah. Aku patut buat solat istikharah. Aku mengangguk. Abah tersenyum memandangku. Mungkin abah rasa aku terima gadis pilihannya.

         "Kau terima sajalah pilihan abah kau tu"

Man berkata. Aku tersengih. Bukan senang hendak terima. Sudah banyak kali aku buat istikharah. Namun, hati ini seakan-akan hendak terima. Tapi aku ragu-ragu. Aku teringat akan gadis purdah. Gadis itu sudah lama aku tidak nampak. Entah mana menghilang.

         "Apa kata hati kau?"

Man menyoal soal hati aku pula. Man memang pandai mengorek rahsia hati aku.

         "Aku dah buat solat istikharah..dan hati aku berkata ya.."

Man tersenyum memandangku. Aku hairan.

         "Itulah jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah, Min. Kalau kau yakin, maknanya itu pilihan Allah"

Ada benarnya kata Man. Kopiah yang berada di atas kepala aku betulkan. Mungkin sudah tiba aku berumah tangga. Aku tersenyum memandang Man.

          Aku melangkah masuk ke dalam masjid dengan pakaian yang kemas. Berwarna putih suci dan kain pelekat yang cantik. Hati aku berdebar-debar. Siapalah yang bakal jadi suri hidupku? Tanpa memandang gadis yang bakal meneruskan hidup bersamaku, aku duduk di hadapan tok kadi. Aku tidak memandang langsung gadis itu. Hatiku masih berdebar-debar lagi. Hanya dengan satu lafaz, segalanya telah terjadi.

Dengan izin-Nya kini, aku telah sah menjadi suami pada gadis pilihan abah. Tiba masanya aku menyarungkan cincin pada isteriku. Aku menoleh lalu memandangnya. Aku terkejut. Apakah aku dalam mimpi? Ya Allah..inilah hikmah-Mu.

Gadis purdah yang membuatkan jantung aku berdebar-debar dengan laju, kini menjadi sah isteriku. Aku masih tidak menyangka.

         "Amin, tunggu apa lagi?"

Ayah membisik pada telingaku. Aku tersedar sambil memandang ke arah gadis purdah itu. Gadis itu menunduk malu. Aku hanya tergamam saja sambil mendekatkan diriku padanya.

          Kau adalah anugerah dari Allah buat diriku. Aku akan selalu menjaga dan mencintai kau wahai permaisuriku. Ya Allah, inilah hikmah yang Kau utuskan padaku. Terima kasih, ya Allah.

          Pada malam itu, aku duduk di sebelahnya. Gadis itu masih malu hendak membuka purdahnya. Aku melutut di hadapannya dengan perlahan. Matanya yang membuatkan aku tertawan. Ya Allah, aku bersyukur pada-Mu. Dengan perlahan, aku membukakan purdahnya. Aku tersenyum memandangnya. Kali kedua aku jatuh cinta!

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Allah berikan yang terbaik buat hamba-Nya yang soleh. Moga Allah menjaga aku dan isteriku. Hebatnya rancangan-Mu ya Allah!

No comments:

Post a Comment