^^Diari Nad^^

^^Diari Nad^^

Tuesday, October 30, 2012

Cinta Akhirat Dapat Dunia


Assalammualaikum sahabat..moga sentiasa ceria dan bersyukur dengan apa yang kita miliki hari ini..saya pasti Aidiladha telah disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan. Maaf sahabat kerana baru hari ini dapat bersiaran dengan izinNYA.

 Sekadar bercerita,

“Mama, kenapa ada orang tak solat tapi bila periksa dia lulus je?” antara soalan yang ditanya oleh Nyssa pada hari ini.

 “Hurm..memang benar kadang-kadang ada orang yang tak solat boleh berjaya kan..kenapa ye? Nyssa kena ingat , mereka ini mungkin berjaya di dunia sahaja tetapi di akhirat nanti bagaimana? Berjaya tak? Pasti tidak sebab dia tak solat , sedangkan solat itu wajib. Dan ingat kita nak berjaya didunia dan juga diakhirat kan..betul tak?” tanya saya.

 “Betul..betul..betul!” jawab Nyssa.

 "Siapa yang tak solat tu?" saja je saya nak tahu.

 "Kawan sayalah tapi dia orang cina, hihihi." Nyssa ketawa.

 "Ya Allah..." dengan senyum.

______________________________________________________________________

Sekadar perkongsian,

Sabda Rasulullah SAW, “Siapa menjadikan akhirat tujuannya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan siapa menjadikan dunia tujuannya , maka Allah menganggu semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.” (Riwayat Ibnu Majah)

 Alangkah indahnya hidup apabila akhirat menjadi tujuan kita. Lihatlah janji Allah kepada orang yang mencintai akhirat yakni orang yang mendambakan syurga Allah, Allah akan permudahkan segala urusannya.

Orang-orang yang hanya inginkan kecemerlangan dunia tidak mungkin memiliki kekayaan hati. Bukankah kekayaan hati adalah janji Allah yang kedua kepada orang yang mencintai akhirat? Orang yang memiliki kekayaan hati ini akan sentiasa rasa cukup dengan hidupnya dan redha dengan segala pemberian Allah kepadanya.

Kenapa hati kita resah, kecewa atau mudah putus asa? Kenapa? Kerana kita tidak punya kekayaan hati. Kita berbuat sesuatu atas tujuan kesenangan dunia atas pujian manusia saja. Tidak pula kita mengharapkan kebaikan akhirat dan syurga Allah SWT.
 
Bukanlah kita tidak dibenarkan mencari kesenangan dunia. Hendak hidup senang dan selesa itu sendiri adalah fitrah manusia. Tetapi janganlah kita mengabaikan akhirat. Jangan kita lalai daripada mengingati Allah. Cintailah akhirat, dengan izin Allah kesenangan dunia itu pasti akan kita miliki. Yakinlah. InsyaAllah.
 
 

 

 

Wednesday, October 24, 2012

Jari-jariku sakit semua

Assalammualaikum sahabat..moga sentiasa kuat dan tabah menjalani rutin kehidupan..Amin.

Sekadar bercerita..

Pagi tadi.. "Mama nak basuh pinggan..nak basuh pinggan." kata Neliez.
 
 
Inilah Neliez anak bongsu saya yang sekarang berumur " 4 tahunlah".. Ini sewaktu dia leka main air sabun basuh pinggan sampai tak perasan mama dia ambil gambar. 
 


 Sekarang Neliez baru perasan terus posing gitu..
____________________________________________________________________________________
 

Kakak dia Nyssa datang pulak "Nak tolong..nak tolong." Okaylah bagi giliran kat Nyssa pulak. Nak pandang kamera jugak tu.. Adik dia Neliez dah bising dah kat belakang tu "Cepatlah..cepatlah, baby pulak."
 
 
"Ishh! lambatlah kakak ni..kang baby dah marah ni!" Neliez dah marah dengan jelingan tajam tuu..
Kakak Nyssa"Ok..ok last cepat ma tengok ni bersih tak?"
 
"Ok..bersihlah tu..kalau tak kena basuh lagi sekali ya sayang." kata saya. "Alamak jari-jariku sakit semua..lalala."Nyssa nyanyi lagu tu.."Haha..oh awak pun pandai nyanyi lagu tu ye." kata saya. "Kan mama selalu nyanyi lagu tu bila basuh pinggan..hehe".jawab Nyssa.




 

Monday, October 22, 2012

Senyuman.

Assalammualaikum sahabat.. Diharap sahabat sentiasa dalam keadaan bersabar.
 
Dari Abu Dzar ra., Rasulullah SAW bersabda : "Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah" (Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

Senyum itu sedekah? Begitu mudah untuk mendapat pahala sedekah tanpa mengeluarkan wang ringgit atau peluh ! Allah SWT telah menganugerahkan senyuman, maka lakarkanlah senyuman selalu sebagai tanda bersyukur di atas anugerah itu. Hidup ini menjadi lebih indah dan berseri sekiranya kita tidak kedekut dan sentiasa melakar senyuman terutamanya kepada orang-orang tersayang dan dekat dengan kita iaitu ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, jiran tetangga dan kawan-kawan.
 
Susah sangat ke hendak senyum? Kalau tak reti hendak senyum baik jangan duduk di kaunter. Ada ke bila orang tanya dengan baik, di jawab dengan sombongnya. Bila orang berterimakasih pun tidak dibalas. Inikah rakyat yang dikatakan kaya dengan adab dan budi pekerti? Jangan sampai sebab nila setitik rosak susu sebelanga.
 
Sebenarnya saya dan en hubby baru saja balik dari PNB atas urusan perbankan. Agak mengecewakan atas layanan yang diberi. Tetapi tidak mengapa kerana kami memaafkan.
 
Senyum itu mudah? Senyuman yang tulus itu sukar. Senyuman yang dusta juga bukan suatu yang mudah. Oleh itu senyum yang menjadi sedekah juga bukan semudah yang kita bayangkan. Sesungguhnya, "Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan…." (Muhammad Qutb)
 


 





Friday, October 19, 2012

Wanita Syurgawi

Assalammualaikum sahabat..sejuknya pagi Jumaat ini, syukur alhamdulillah. Moga hati kita pun sejuk je pagi ni. Jom hayati kisah ini.

Sekadar perkongsian.

Raut wajahnya setenang air di kali walaupun dihimpit kesusahan hidup. Beliaulah bunga di hati, ayahnya, Rasulullah SAW. Sejak kecil hingga dewasa, beliau adalah penghibur baginda SAW setelah ibunya Khadijah binti Khuwalid meninggal dunia.

Fatimah Thahirah adalah gelarannya. Beliau adalah wanita penghulu syurga yang melahirkan cucu-cucu kecintaan Rasulullah SAW iaitu Hasan dan Husin. Walaupun dilahirkan sebagai anak kekasih Allah, Fatimah menjalani hidup yang sederhana malah lebih susah daripada orang lain. Dia dan suaminya Ali r.a, hanya tidur di atas kulit kambing yang juga dijadikan alas unta pengangkat air. Fatimah juga membuat sendiri kerja-kerja rumahnya seperti menggiling tepung dan mengangkat air dari perigi ke rumahnya sehingga tangan dan tubuhnya berbekas.

Suatu ketika, Rasulullah SAW bertandang ke rumah Fatimah dan Ali. Baginda SAW terpandang selimut yang jika menutup kepala mereka akan ternampaklah kaki, dan apabila ditutup kaki mereka akan ternampaklah kepala. Rasulullah SAW lalu mengajarkan mereka berdua sesuatu yang lebih baik daripada kesenangan dunia. Sabda baginda SAW, "Ada beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku. Iaitu kamu bertasbih (Subhanallah) setiap kali selesai solat sebanyak sepuluh kali, bertahmid (Alhamdulillah) sepuluh kali dan bertakbir (Allahuakbar) sepuluh kali. Dan jika kamu ingin tidur, maka bertasbihlah 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 34 kali"

Fatimah mendidik anak-anaknya agar mencontohi peribadi datuk mereka, Rasulullah SAW . Setiap kali menimang anaknya dia berkata "Anakku serupa dengan Rasulullah tidak serupa Ali" Kata-katanya itu adalah supaya anak-anaknya lebih mencontohi Rasulullah SAW. Di kalangan anak-anak baginda rasul, hanya Fatimah yang meriwayatkan hadis baginda SAW iaitu sebanyak 18 buah hadis.

Rasulullah SAW pernah bersabda , "Fatimah adalah sebahagian diriku. Aku merasa susah apabila dia bersedih dan aku berasa terganggu jika dia diganggu." Setelah kewafatan baginda SAW, Fatimah adalah waris pertama yang menyusul pemergian Rasulullah SAW ke alam baqa." Dan dialah yang akan mendahului wanita-wanita solehah lain memasuki syurga Allah SWT kelak.

Inilah secubit kisah wanita penghulu syurga yang wajar kita teladani. Walaupun hidup kekurangan, Fatimah sentiasa sabar dan yakin bahawa kesenangan yang kekal hanyalah di akhirat.

Moga dapat manfaat.

Sumber dari ASUH





Wednesday, October 17, 2012

Kertas purple

Assalammualaikum sahabat.. moga dibawah perlindungan Allah S.W.T

Semalam selepas jemput anak dari sekolah, Tasha ajak saya dan adik-adiknya pergi makan di salah sebuah shopping Mall berdekatan sekolahnya kerana semalam birthday Tasha. Kami sempat makan di KFC.
 
Ini Teli dan sepupunya
 
Sebaik kami habis makan dan keluar dari bangunan shopping mall..
 

Tasha : Mama ada kertas kat cermin kereta.
Mama : Allah..kertas apa pulak tu?
Tasha : Mama kertas warna purple.
Mama : Kertas warna purple..kertas apa? Bacalah.
Tasha : Majlis Perbandaran bla..bla..notis kesalahan serta tawaran mengkompaun.
Mama : Allah..meh sini mama baca..kod kesalahan 4, letak di luar tempat letak kereta..arggh tidak!kita kena samannn.!
Tasha : Allah..mama macam mana ni?
Teli : Mama..kena bayar berapa?
(soalan Teli tidak saya jawab kerana masih tak percaya saya kena saman)
 Mama : Aikk..tak boleh parking ke kat sini? (tanya diri sendiri)
Teli : Hari tu kita parking kat sini elok je tak kena saman pun. Kesian mama.
Mama : Ya Allah tak perasan ada tanda no parking..(rupanya ada tanda no parking terletak jauh sikit dari kereta)
Tasha : Saya perasan tadi tapi tanda tu jauh. Maafkan saya ma.
Mama : Hurm..takpelah bukan salah Tasha..mama yang lalai.
Tasha : Tapi saya yang ajak mama datang sini..biar saya yang bayar saman tu.
Mama : Eh! Tasha ada duit ke?
Teli : Amik duit Teli..duit raya Teli banyak.
Tasha : Tak payahlah adik..akak ada duit. Mama guna duit saya.
Mama : Tak apa..simpan duit awak semua..terimakasih sebab nak tolong mama. Hal ini biar mama uruskan ye.
 
Orang pertama yang saya kena beritahu siapa lagi kalau bukan en hubby..call dia.
Hubby : Kena saman..(dengan coolnya), nanti abang call balik.
Mama : Ok.
 
Selepas sepuluh minit..
Hubby : Kertas saman warna apa?
Mama : Ha..o kertas purple.
Hubby : Esok gi Majlis bla..bla.bayar kat kaunter RM 20.00 aje. Next time parking kat dalam ye.
 
KERTAS PURPLE

 ada sape-sape yang pernah kena saman? hehe
 


Monday, October 15, 2012

Kedekut

Sekadar bercerita,
 
Selepas selesai solat Subuh,
 
Nyssa : Mama, saya nak tanya boleh?
 (Nyssa anak ketiga saya memang suka minta izin dulu kalau nak bertanya)
 
Mama : Boleh.
 
Nyssa : Nape kan bila kita sebut Nabi Muhammad kita kena sebut Sallahu Alaihi Wa Sallam?
 
Mama : Mestilah kita kena berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.
 
Nyssa : Bukan..bukan.
 
Mama : Eh! kenapa pulak bukan?
 
Nyssa : Oops..sori Mama, memanglah kena selawat tapi kenapa kena sebut Sallahu Alaihi Wa   Sallam?
 
Mama : Hurm..(dalam hati..soalan yang sama nih)
 
Nyssa : Kenapa Mama? Kenapa? Gave up..
 
Mama : Ni apa ni teka-teki ke? Okay lah kenapa.(nak dengar jawapan dari Nyssa sendiri)
 
Nyssa : Haa..ustaz saya cakapkan...kalau orang tak sebut Sallahu Alaihi Wa Sallam, orang tu kedekut.
 
Mama : Nyssa kedekut ke?
 
Nyssa : Eh tak..saya selalu sebut Sallahu Alaihi Wa Sallam,  ustaz cakap sape tak sebut orang tu rugi sebab tak dapat pahala.
 
Mama : Nak pahala tak?
 
Nyssa : Nak lah.
 
Mama : Haa kena rajinlah sebutttttt..
 
Nyssa/Mama : Sallahu Alaihi Wa Salam (sama-sama sebut)
 
_________________________________________________________________________________
 
Sekadar perkongsian:
 
Dalam sepotong hadis, Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa orang yang tidak berselawat kepada baginda ketika nama baginda disebutkan sebagai seorang yang "bakhil" (kedekut).
 
 Apakah kita mahu menjadi umat Nabi S.A.W yang kedekut untuk berselawat kepada Nabinya sendiri?
 
Rugilah orang yang tidak mahu berselawat kerana menolak satu ibadah yang amat mudah dan ringan tetapi mempunyai nilai pahala yang sangat tinggi di sisi Allah S.W.T di akhirat nanti. Begitu juga ia akan terlepas dan tersisih dari syafaat Nabi S.A.W di sana nanti.
 
Wallahu a'alam.
 
 

Saturday, October 13, 2012

Saya mahu kembali berblog.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, sesungguhnya sangat bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan pada kita. Masih lagi dapat bernafas dan menghirup udara segar dikira satu nikmat..terimakasih Allah.

Kadang-kadang saya terasa amat bersalah kerana penulisan saya diblog ini seperti hangat-hangat tahi ayam, kejap ada kejap tiada, apa ke halnya? Saya bertanya pada diri saya sendiri, dan mungkin sahabat ada bertanya.

Maafkan saya pada semua yang mungkin ada datang menjengah blog ini dan pada yang memberi komen tetapi saya tidak membalasnya..maafkan saya, memang saya rasa amat bersalah.

Catatan terakhir saya pada bulan Mac lalu..selepas itu saya sepi..memang benar saya sepi walau saya masih dikelilingi anak-anak dan suami tercinta. Jiwa saya sepi..saya rasa kosong sangat, pernah juga saya cuba untuk memulakan catatan diblog ini tapi saya buntu seperti tidak tahu menulis lagi.

Bukan sekali, dua kali tapi berkali-kali saya cuba..saya tak tahu apa yang hendak ditulis.Kecewa saya kerana blog saya seolah tidak berpenghuni.Saya mahu kembali berblog.

Sekadar perkongsian