^^Diari Nad^^

^^Diari Nad^^

Thursday, April 28, 2011

Niat hendak berhenti solat

Assalammualaikum,

Sekadar bercerita,

Semalam anak kedua saya Natalieya ada kem solat di sekolahnya. Petang baru habis..seperti biasa saya akan bertanya anak-anak saya apa yang mereka pelajari di sekolah. Ada satu cerita yang membuatkan saya ketawa, geli pun ada.

Cerita Teli (nama panggilan Natalieya) " Mama nak tahu tak, masa tu saya tengah sembahyang jemaah kat dalam dewan sekolah, tiba-tiba ada seekor lipan ma, merayap je macam nak datang kat saya. Saya dah bercakap lah dalam hati, kalaulah lipan tu datang dekat, saya mesti lari".

"Habis tu Teli lari ke?"tanya saya. "Eh tak lah, nasib baiklah lipan tu pergi tempat lain..hehe."jawab Teli. "Jadi, Teli teruskan solat ke?"tanya saya lagi. "Ye lah." jawab Teli ringkas.

Ketawa dan geli hatilah saya dengan cerita Teli tu tapi ada satu persoalan yang terdetik untuk saya kongsikan bersama Teli dan sahabat sekalian.

Adakah Teli dikira sudah berniat keluar dari solat? Bagaimana dengan solat Teli itu?

Hem..solat Teli sudah terbatal kerana ada niat yang sebegitu. Ini kerana dalam solat kita perlu memberikan komitmen serta tumpuan yang sepenuhnya dan tidak boleh kita berniat atau qasadkan kepada perkara-perkara lain.

"Habis tu macam mana ni mama? lainkali saya terus berhenti dan cari tempat lain ye mama?"

Saya dah pun menjawab persoalan Teli.. jika sahabat ingin jawab, sudilah komen dan beri pandangan. Saya amat menghargainya. Terimakasih.

Monday, April 25, 2011

Sebelum dan Selepas

Assalammualaikum,

Sekadar bercerita..

Kekadang saya tidak nafikan apabila kita mendapat sesuatu yang baru..kita amat menghargainya lebih-lebih lagi sesuatu yang memang kita suka. Tapi tak bermakna kita tinggalkan yang lama cuma bila ada yang baru ia memberi semangat untuk kita mewarnai semula yang lama bersama yang baru. Nah barulah dikatakan hidup harus diteruskan.

Sebenarnya apa yang ingin saya kongsikan hari ini bukanlah sesuatu yang berat atau serius sangat cuma saya terasa penting juga kerana kekadang perkara yang dianggap remeh ini bila diberi perhatian boleh memberi kesan yang mendalam.

Oklah saya tak mahulah melalut lebih-lebih lagi sebenarnya lihatlah gambar dibawah ini..

Pernah tak tonton rancangan "Deko bersama Eric"?? Ha inilah dia..

Sebelum

Selepas

Ada perbezaan tak? Ini sebenarnya salah satu sudut bacaan anak-anak saya..tapi bukanlah Eric yang datang untuk mencantikkannya..tapi anak-anak saya. Ini namanya "semangat mengemas".

Nak tahu kenapa mereka ni rajin sangat nak mengemas petang-petang macam ini..pertama sebab hujan tengah lebat kat luar jadi tak bolehlah main basikal .

Tapi yang paling penting sebab keduanya ialah nak susun buku-buku baru yang baru dibeli di pesta buku PWTC semalam. Ha nampak semuanya bersebabkan..

 
Inilah sebahagian dari buku-buku yang dibeli di pesta buku semalam yang memberi inspirasi untuk anak-anak saya untuk mencantikkan sudut ini.
          
Apa-apapun sebabnya yang best almari tu tak lah bersepah lagi macam selalu..tapi tak tahu pulaklah sampai bila ia boleh bertahan..yang penting mereka seronok bergotong-royong bersama kan.

Saturday, April 23, 2011

Patutkah dia dilempang??

Assalammualaikum..

Kisah malam tadi,

Pulang dari rumah mak..sampai malam di Batang Kali..singgah pekan nak beli barang-barang keperluan untuk esok..dah habis membeli barangan dapur..kami ternampak ada jualan murah di depan Petronas..setiap satu hanya RM 1.00 saja.

Saya dan anak-anak teruja jadi saya pujuk hubby untuk singgah sekejap..nak juga tengok apa yang murah sangat itu. Sedang kami membelek barangan tiba-tiba ada bunyi riuh rendah orang tengah bertekak..bila saya lihat ada seorang lelaki dewasa telah melempang seorang lelaki remaja. 

Pada mulanya saya ingat ini pertengkaran antara bapa dan anak, jadi saya pun malaslah nak tengok tapi pada masa yang sama nak juga tahu apa puncanya sehingga budak itu di lempang depan orang ramai.

Saya cari hubby saya yang ketika itu dah tak ada dibelakang saya..rupa-rupanya dia yang dulu pergi melihat insiden itu..hemm memang lumrah manusia mesti nak ambil tahu nak pulak hal-hal yang seperti itu.

Saya terus mendapatkan hubby dan tanya apa yang sebenarnya berlaku..hubby beritahu lelaki dewasa itu sebenarnya tuanpunya kedai tersebut dan budak remaja itu dilempangnya kerana mencuri.

Saya ini sebenarnya tak boleh tengok budak dikasari..bukan apa kesiannnn..tapi kebanyakan orang ramai yang melihat insiden itu seolah seperti setuju je dengan cara tuanpunya itu termasuklah my hubby..

Bukan apa jika dibandingkan dengan kesalahannya mencuri barangan yang hanya berharga RM1.00 tu tak berbaloi rasanya dia dilempang. Mungkin dengan cara beri nasihat ke dulu atau bawa jumpa mak dan bapa dia ke..entahlah mungkin saya tak rasa situasi kena curi kot sebab tu saya tak tahu..

Saya pun tak naklah cakap lebih-lebih tapi tetap tak berpuas hati budak itu dilempang..sedapnya lempang anak orang..itulah keluhan hati saya, saya percaya Rasulullah pun guna cara lembut dalam menangani hal-hal seperti ini.

Apa kata sahabat-sahabat sekalian tentang hal ini?? Patutkah dia dilempang??

Friday, April 22, 2011

Baik punya lentok

Assalammualaikum..selamat petang,
Sekadar bercerita,

Hari ini sebenarnya tak ada apa aktiviti pun selain dari menunggu hubby balik keje dan bersiap sedia nak balik rumah (sekarang masih di rumah emak) sambil tu relax ajelah..anakku Natasha dan Natalieya dengan aktiviti merekalah membaca ASUH, anakku Nyssa dah minta izin nak main game..sekali-sekala tak apalah bagi dia main game dalam bilik..sikecilku Neliez pun sibuklah nak join kakak dia..saya pun tak kisahlah asal dia tak nangis berebut pulak nak main.

Saya pun tinggalkan mereka sekejap untuk ke dapur masak air untuk minum petang. Tidak lama kemudian, Natasha anak sulung saya memanggil "Mama, mari sini sekejap, cuba tengok ni".


Dah terlelap sikecilku Neliez..penat sangat agaknya.

Tapi yang paling mengelikan hati saya, kakak Nyssa dia duduk relax lagi sedangkan adik dia tengah lentok baik punya kat peha dia..eeee game punya penangan! Dia dok leka sampaikan tak sedar adik dia dah tidur. Bila ditegur baru nak pandang..tengok tu..

Yang menghairankan saya tu, lama jugaklah dia tidur dengan gaya seperti ini..tak terasa sakit ke tangan dia terselepok (ntah apa bahasa lak). Jadi sempatlah saya ambilkan gambar dari beberapa sudut..hehe.

Kakak Nyssa dia pun tak mengadu lengoh kaki ke..hemm biarkan ajelah.


Wednesday, April 20, 2011

Ketua kumpulan Nasyid

“Mama, saya geramlah” kata Nur Natasha anak sulung saya yang baru balik sekolah. “Hai, kenapa ni balik-balik tak beri salam dah geram ni?” tanya saya.
“Oh maaf mama, assalammualaikum.”Tasha minta maaf. “Waalaikummussalam, hem macam itulah, sekarang baru cerita dengan mama, geram dengan siapa?” tanya saya lagi.
“Saya geram dengan kakak kat sekolah tu, tadi saya terdengar dia cakap kat Ustaz yang saya tak boleh jadi solo untuk nasyid, padahal Ustaz dah pilih saya, memang dia dengki dengan saya.”cerita Tasha dengan nada marah.
Berfikir sejenak macam mana nak meredakan kemarahan Tasha..saya pun bertanya lagi “Cuba bawa bersabar, habis tu Ustaz cakap apa pada kakak tu?”
Tasha sambung “Ustaz kata nanti dia nak dengar semula suara kakak tu dengan suara saya, baru dia buat pilihan muktamad.”
“Jadi Tasha nak buat apa sekarang ni?”tanya saya lagi.
 “Saya nak cakap dengan kakak tu..kenapa dengki sangat dengan saya,saya tahu dia memang tak suka saya, kalau tak suka cakaplah depan-depan, jangan cakap belakang.”Tasha meluahkan perasaannya.
“Sebelum ni kakak tu baik ke dengan Tasha?”saya masih mahu Tasha meluahkan sesuatu. “Ok je lah, adalah cakap-cakap dengan dia, saya tahu dia nak jadi solo sangat tapi Ustaz dah pilih saya, mama saya takutlah nanti Ustaz pilih dia pulak.”luah Tasha.
Saya tanya lagi”Tasha pun nak sangat jadi solo ke?” “Hihi, memanglah mama ni”dengan rasa malu Tasha jawab.
“Kalau nak jadi apa yang kita hendak kenalah usaha dan jangan takut terima kekalahan..mama yakin Ustaz mahu Tasha dan kakak tu puas hati, itu sebablah dia nak dengar semula suara Tasha dan kakak tu, jika ditakdirkan Tasha jadi solo jangan pandang rendah pada kakak tu pulak dan jika ditakdirkan Tasha tak jadi solo, janganlah kecewa pulak..mungkin Tasha kena lebih berusaha lagi..nyanyi sedap-sedap lagi..hihi”panjang lebarlah pulak ceramah saya pada Tasha.
“Oklah mama tengok je lah nanti” jelas Tasha mengakhiri perbualan kami semalam.
*********
Hari ini..
“Mama..mama..mana mama ni?”suara Tasha mencari saya yang berada di dapur. Seperti sudah mengetahui apa yang hendak diceritakan oleh Tasha, saya terus mengagak “Hah..Tasha dapat jadi solo ye.”
“Eee mama ni macam mana mama tahu ?” tanya Tasha  “Firasat seorang mama..hehe”ketawa saya. Nasiblah betul kalau tak?? Eee tak payah sambung lagilah ye..habis cerita.
***************
Untuk renungan Tasha dan semua.
Mengamalkan Sifat Terpuji
Sudah menjadi adat permainan pasti ada yang menang dan kalah. Oleh itu, bermain akan mengajar kita belajar menerima sesuatu keadaan atau perkara yang berlaku. Jika ditakdirkan kita tidak menang, janganlah kecewa dan berputus asa. Terimalah dengan rasa redha dan dada yang lapang. Belajarlah dari kekalahan itu. Baiki segala kelemahan diri dan berusahalah untuk mencapai kemenangan pada masa akan datang.

Monday, April 18, 2011

Solat tempat gelap.

Assalammualaikum

Sekadar berkongsi

Dua hari yang lepas saya tak berapa sihat..jadi tak berkesempatan hendak menulis sesuatu di blog ini..alhamdulillah hari ini saya kembali sembuh. Syukur pada Allah setiap penyakit itu penghapus dosa.
Okaylah bukan cerita sakit yang saya hendak kongsikan tapi cerita lain.

Semalam hujan turun dengan lebatnya di tambah dengan dentuman guruh kilat dari langit. Teringat pada arwah bapa saya, arwah akan melaungkan azan jika situasi seperti itu berlaku dan kesannya Subhanallah..hujan yang lebat dan guruh kilat beransur perlahan dan kadang-kadang terus berhenti. Hemm betapa hebatnya laungan azan. Mungkin kisah azan ini kita boleh kupas lagi di lain waktu.

Sambung semula kisah hujan lebat semalam..hampir waktu maghrib baru berhenti. Saya dan anak-anak sudah bersiap-sedia untuk solat jemaah maghrib tiba-tiba bekalan elektrik terputus..hemm bergelaplah kita buat seketika..saya ke dapur untuk mendapatkan lilin dan terus menyalakannya. Si kecilku Neliez mulalah nak nyanyi lagu "happy birthday" lah pulak..hehe.


Ini Sikecilku Neliez..dia pun nak solat jugak.

Bersolatlah kami di dalam suasana yang gelap. Setelah selesai solat dan selesai berdoa, anak ketigaku Nyssa bertanya "Mama, tak apa ke kita sembahyang kat dalam gelap?". Saya dengan ringkas menjawab " tak apa". Dia masih tak berpuas hati agaknya dengan jawapan saya " Kenapa?".

Kali ini hubby yang jawabkan "Bila gelap kan sunyi..lagi khusyuklah kita sembahyang". "Oooo" Nyssa baru berpuas hati. Saya tersenyum gembira bila anak-anak sudah mengerti.

Untuk renungan bersama:-

Boleh solat di tempat gelap dan tiada larangan. Malah kita digalakkan bangun malam agar bertahajud, berzikir dan beristighfar di dua pertiga malam dalam keadaan sunyi sepi kerana waktu tersebut lebih syahdu, khusyuk dan bacaan Al-Quran pada waktu tersebut disaksikan oleh para malaikat.

Friday, April 15, 2011

Wahai Penulis.

Assalammualaikum..

Pagi Jumaat ini ingin saya kongsikan pada sahabat-sahabat sekalian dengan salah satu artikel daripada Bayyinat yang begitu menyentuh perasaan saya. Terima kasih adik Iqbal atas perkongsian ini.

Wahai Penulis

Wahai diri yang megah dengan tulisan,
Untuk apakah tari jemarimu?
Untuk siapakah kalam mu?
Untuk siapakah bicara mu?

Wahai diri yang gagah dengan karya,
Ke mana hala kiblat mu?
Ke mana pula destinasi kasih mu?
Ke mana juga maruah dan kebanggaan mu?
Saat dirimu ditanya Tuhan mu,
Untuk apakah tulisan mu?

Wahai diri yang tegak bersama bait nada cinta bersulam izzah,
Tanyalah dirimu.

Apa yang kamu cari dalam penulisanmu?

Populariti kah?

Pujian kah?
Ah! Segalanya fana!
Segalanya tidak membawa kamu kepada Tuhan,
dan segalanya membawa kamu ke makam neraka.

Wahai diri yang mencoret dengan ihsan Ilahi,
Letakkan tanganmu di dada,
Hamparkan jemarimu yang laju di medan pena,
lalu tanyalah pada hatimu,

Adakah ini perjuangan kamu?
Adakah ini layaknya untuk membeli syurga?
Adakah ini menjadi perisaimu menapis bahang siksa neraka?
Layakkah kamu?

Wahai penulis,
Bulatkan niat mu.
Kentalkan azam mu.
Tegakkan pegangan mu.
Dirimu berjuang dengan pena pedang sisipan al-hikmah.
Dirimu berlindung dengan perisai ketulusan.
Dirimu berperang dengan nafsu kehitaman.
Dan akhir,
Dirimu berjuang di bawah pemimpin yang sama,
Muhammada S.A.W

Wahai penulis,
Carilah izzah mu,
Jadilah kamu Hassan Bin Tsabit di alam baru,
Yang kerna kalamnya, musuh binasa,
Yang kerana penanya, musuh terpesona,
Juga jihad buat pemilik diri nya,
Dan layaklah untuk si hamba dikasihi Tuan yang mulia.

********

Sedang mencari kekuatan yang lebih,
Sedang menggali sumber kekuatan yang baharu.
Sedang mencari sumur penjernihan yang hakiki.

Segalanya daripada Allah...
Dan untuk Allah jua..

Moga Allah ampunkan saya.

**********

Untuk itu marilah sama-sama kita renung dan berfikir sejenak "Untuk apakah tulisan kita"?.

Thursday, April 14, 2011

Tidur kaki berlunjur ke arah kiblat.

Assalammualaikum..

Sekadar berkongsi..

Semalam dirumah mak ramai yang datang..kakak dan anak-anaknya datang untuk bermalam dirumah mak kerana suami tiada dirumah pergi outstation. Saya memang tinggal dirumah mak kerana anak-anak bersekolah disini..hujung minggu je baru balik rumah sendiri.

Bila dah ramai..kecohlah rumah mak dibuatnya..anak-anak pulak sukalah bermain-main dengan sepupu mereka, sampai nak tidur pun nak beramai-ramai tidur di ruang tamu walaupun ada bilik yang disediakan oleh emak.

Bila dah ramai..tidur pun tiada susunannye..bersepah ikut suka..emak ada menegur "cucu-cucu uwan..tidurlah elok-elok kaki tu jangan lunjur arah kiblat".

Jadi pada malam itu..banyaklah persoalan dari cucu-cucu emak saya.

Persoalannya sekarang bolehkah kita tidur dalam keadaan kaki berlunjur ke arah kiblat??

Seboleh-bolehnya elakkan tidur dalam keadaan kaki berlunjur ke arah kiblat. Sebagai seorang muslim, kita perlu menjaga tertib dan akhlak sehingga pada waktu tidur sekalipun.

Perlu diketahui bahawa tidur yang terbaik ialah sebagaimana tidur Rasulullah SAW iaitu tidur dalam keadaan baring di atas rusuk kanan, wajah menghadap kiblat serta berlapikkan tangan.

Hem itulah jawapan secara ringkas, jika sahabat-sahabat kalian ada penambahan dengan persoalan ini silalah beri pendapat dan pandangan masing-masing. Manalah tahu jika penerangan di atas masih kurang. Terimakasih.

Wednesday, April 13, 2011

Kek dari tangan anak-anak kecilku

Assalammualaikum,
Sekadar berkongsi cerita,
“Mama jom kita buat kek nak” itulah kata-kata lembut dari Nyssa petang tadi. Kalau ikutkan hati memang malas nak buat, ingat nak rehat je petang ni tapi dek kerana ajakan anak yang bersemangat nak buat kek ku gagahi jua.
Bermulalah operasi membuat kek yang disertai oleh sikecilku Neliez. Kalau dah dia ikut serta hem apalagi kacau bilaulah jadinya..habislah dapur berkecah. Kakak dia yang berdua lagi tu  pergi tusyen tiada dirumah..nasib baik kalau tak lagi kecoh dibuatnya.

Inilah dia anak-anak kecilku yang bersemangat nak buat kek.

Sikecil Neliez ni nak monopoli aje..tak kasi kakak Nyssa dia buat..

Alhamdulillah menjadi jugak kek anak-anak kecilku ni..

Berakhirlah operasi membuat kek untuk hari ini..bolehlah minum petang bersama kek ni. Selamat minum petang pada semua.

Bila kita dapat menikmati sesuatu dari hasil perkongsian kita dengan anak-anak tersayang..hilang rasa penat-lelah kita..Syukur Alhamdulillah.







Tuesday, April 12, 2011

Vitamin I

Assalammualaikum..

Sekadar berkongsi,

Saya baru je habis menonton Halaqah Sentuhan Qalbu..tajuk "Pohon Hidup". Sungguh menyentuh qalbu..walau ianya siaran ulangan tapi ia memang membuat kita yang menonton mengalirkan air mata penuh keinsafan.

Wahai jiwa-jiwa yang merindui..apakah kita tercari-cari maknanya hidup.tanpa jawapan yang ditemui..hidup pun seperti pohon mati..

Tapi di manakah pohon yang tinggi menulang ke langit? Akarnya menhujam ke bumi..Apakah ia tumbuh dalam hati kita ??

Marilah kita sama-sama tambah vitamin I (iman) agar pohon yang kita tanam, semai dan bajai tidak kering dan akhirnya mati..

Sama-sama kita beristigfar..lihat dengan mata hati..moga Allah membuka hati kita.. Amin

Monday, April 11, 2011

Lewat solat subuh

Assalammualaikum..

Sekadar berkongsi cerita,

Pernah tak terlewat bangun untuk solat subuh atau sengaja lambat-lambatkan untuk bangun dengan alasan tak upaya nak bangun?? 

Atau pernahkah tangguh lagi nak bangun sedangkan dah dengar dah suara bilal melaungkan azan atau suara ibu mendayu-dayu mengejutkan suruh bangun??

Inilah nak diceritakan ni hal pagi tadi..saya memang selalulah kejutkan anak-anak untuk bangun seawal yang boleh supaya mereka boleh siap cepat dan ready untuk jemaah bersama sebelum ke sekolah..

Pagi ni dah kelam-kabutlah sikit sebabnya anak kedua saya bangun lewat walau telah dikejut..bila dah lewat tu ketinggalanlah dia untuk berjemaah..

Bila saya tanya kenapa lewat..dia jawab "adik dah dengar dah azan, lepas tu dah dengar dah mama kejut, rasa macam dah bangun tapi.." terhentilah pulak dia.

Hemm..itulah alkisahnya.

Tahukah kita apakah hukumnya melambatkan solat Subuh dengan alasan tidak upaya bangun awal??

Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW seorang lelaki tidak menghadiri solat Subuh berjemaah, malah bangunnya pun lewat. Lantas dinyatakan oleh Rasulullah SAW bahawa orang tersebut telah dikencing oleh syaitan dalam telinganya. Semoga Allah menjadikan kita orang-orang yang suka mengerjakan solat berjemaah dan segera menyahut seruan azan.

Saturday, April 9, 2011

Ikan Bawal masak kicap vs Domino Pizza??

Assalammualaikum..


Sekadar bercerita,


Hari ini memang lambat masak sebabnya breakfast pagi tadi pun dah lambat..
jadi anak-anak tak kisah makan lambat..


Hubby lak gi keje..saya pun macam malaslah nak cepat2 masak..
tapi dah keluarkan ikan bawal, ayam dari freezer awal-awal lagi biar cepat defrost..


Bila malas melanda mulalah terfikir kalaulah hubby balik keje nanti, ade beli lauk ke..
hem..tak payah pikir apa nak masak..


Tapi masak jugaklah karang dia balik tangan kosongkan hampa..
saya masak ikan bawal masak kicap..masak orang malas..
ayam tu pulak ingat nak masak gulai lemak cili api..


Ikan bawal masak kicap dah siap..anak-anak yang tadi tak kisah makan lambat tu..
nak makanlah pulok bila nengok ikan bawal masak kicap..


baru je nak ambik nasi..bunyi hon kereta hubby dah balik dah..
anak jerit "mama..papa dah balik bawak domino!"


Hai..apalagi kalau dah pizza dengan ikan bawal masak kicap je??



Ikan Bawal masak kicap kita tak berusik pun lagi..domino pizza hem dah nak licin dah!
Dah licin tak pe lah..jangan membazir sudah! Ikan bawal tu bolehlah buat lauk makan malam nanti..

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’: 27).

Firman-Nya yang bermaksud,
“…dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan” (Surah al-A’raf: 31).




Thursday, April 7, 2011

Khasiat Kismis



Assalammualaikum..

Sekadar bercerita..

Ramai juga kawan-kawan atau jiran yang baru balik dari mengerjakan umrah..jadi ada saje buah tangan dari mereka..macam-macam tasbih, sejadah dan paling tidak mesti ada buah kismis..hem gembiranya saya..terimakasihlah atas pemberian..insyaAllah kalau dijemput Allah saya pulak sampai ke sana..Amin..

Okaylah, terus sambung citer tadi, ibu manalah tak mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ini termasuklah saya..untuk pengetahuan semua anak-anak saya tak suka makan kismis. Sudah puas saya menyuruh anak-anak supaya makan kismis..tak hendaknya mereka..kekadang tu terpaksalah gunakan cara paksaan..kesian sampai termuntah-muntahlah pulak..haa yang tu anak kedua saya..yang sulung ok jugalah tapi hai nak telan sampai merah-merah muka..padahal anak sulung saya ni dulu masa dia kecik-kecik..bukan main suka makan kismis..berkotak-kotak kami beli dia makan..tak tau lah bila dah besar panjang ni..tak sukalah pulak!

Hai..bukan main susah lagi nak makan kismis macamlah mama dia ni nak bagi makan ulat! Ha anak ketiga dan si kecikku ni masih oklah lagi..boleh terima..tapi yang si kecik tu bila dah nampak kakak-kakak dia yang tak leh makan tu..hem dia pun cam nak tak nak je..hai bukan apa dah nampak dah tanda-tanda tak suka makan kismis..hem samalah dengan papa mereka ni..tak suka makan kismis..at last mama dia jugalah yang perhabiskan kismis tu..

Di bawah saya kongsikan khasiat kismis bukan untuk diri saya sebab saya dah tahu dah..ini untuk pembaca dan untuk anak-anak saya juga untuk papa dia walau dia tak suka kismis..

Kismis merupakan sumber antioksidan yang baik, tinggi kalori, mengandungi potassium, serat dan fruktos iaitu sumber tenaga semula jadi yang baik.

Ia juga mengandungi bahan yang mampu menyekat pertumbuhan bakteria di dalam perut sekaligus membantu mengurangkan masalah penyakit gusi dan kerosakan gigi.

Elok untuk minda juga.

Hmm..elok makan banyak-banyak!

Monday, April 4, 2011

Nak Selamat Dari Bahaya Dunia?

Assalammualaikum..


Sekadar berkongsi,


Empat perkara jika dilakukan kita akan terselamat dari bahaya dunia.


Berkata jujur,


Menjaga Amanah,


Berakhlak mulia,


dan Meneliti setiap apa yang masuk ke dalam perut.


(Hadis Riwayat Hakim)


Hemm..kenalah pastikan apa yang kita makan kerana ia menjadi darah daging kita..halal atau haramkah??


Friday, April 1, 2011

Berhati-hati pilih kawan

Assalammualaikum..semoga semua berada dalam keadaan sihat walafiat dengan rahmat dan limpahan kasih sayang dari Yang Maha Esa.
Allah SWT telah mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan.Begitu juga kita yang dijadikan sebagai manusia. Kita tidak akan hidup bersendirian. Malah kita tak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang.
Namun jika ada di antara kita yang tidak suka berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai manusia normal. Jesteru, inilah antara hikmah,kenapa Allah SWT mencipta manusia dalam pelbagai bangsa,warna,kulit dan bahasa. Firman Allah SWT “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu  berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.” (al-Hujurat:13)
Sebenarnya dalam dunia persahabatan ini, tiada manusia yang sempurna dan terlepas dari melakukan sebarang kesilapan. Sewajarnya jika berlaku perselisihan faham atau sengketa, kita perlu mencari ikhtiar untuk  memperbaiki diri. Berusahalah dengan hati yang ikhlas. Walau bagaimanapun, jika sahabat tidak menghargai kita, bertawakallah dan doakan dirinya. Moga dengan doa kita itu, Allah akan memberi petunjuk dan pertolongan.
Jadi kita harus berhati-hati ketika memilih kawan. Ini kerana kawan menjadi cermin peribadi kepada seseorang. Oleh itu, berkawanlah kerana Allah untuk mencari redhaNYA.
Buang yang keruh ambil yang jernih
Dendam hasad dengki mestilah dijauhi
Ukhuwah dan mahabbah kita jalinkan
Bina keharmonian.